Immigration History from Malaysia (Malay) to Victoria
Imigrasi dari negara yang kini dikenali sebagai Malaysia bermula pada pertengahan abad ke-19, dengan banyak pendatang itu mencari kerja dalam perusahaan mutiara. Yang lain bekerja di lombong-lombong di Australia Selatan, di ladang-ladang pertanian dan di ladang-ladang tebu di Queensland. Walaupun terdapat permintaan tinggi untuk pekerja Melayu di Australia, pengenalan Akta Sekatan Imigresen 1901 telah membatasi pertumbuhan komuniti ini.
Pada masa Perang Dunia Ke II, jumlah komuniti Melayu telah meningkat sedikit apabila terdapat penduduk dipindahkan ke sini dari Negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan British. Sebahagian daripada pendatang itu adalah berasal dari keturunan Eropah. Dalam zaman pasca perang, pelajar-pelajar Malaysia diberikan pemastautinan sementara di bawah Rancangan Colombo. Menjelang tahun 1966, terdapat 2,434 orang Victoria kelahiran Malaysia
Selepas Akta Sekatan Imigresen itu dimansuhkan secara rasmi dalam tahun 1973, Australia telah menjadi destinasi yang disukai oleh imigran Malaysia, yang kebanyakannya terdiri daripada orang Cina. Jumlah pelajar terus meningkat, dan setengah daripada mereka itu memilih untuk tinggal di Australia selepas menamatkan pelajaran mereka.
Kumpulan imigran kelahiran Malaysia yang terbesar tiba di Australia selepas tahun 1981, di bawah Program Penyatuan Semula Keluarga atau sebagai pekerja mahir atau imigran perniagaan. Dalam tahun 2011, terdapat 39,788 imigran di Victoria yang berasal dari Malaysia, kebanyakannya tinggal di sekitar Glen Waverley, Balwyn dan Doncaster dan di bahagian tengah Melbourne. Sebanyak 27% mengaku bahawa mereka menganut agama Buddha sedangkan bilangan yang menganut agama Kristian telah meningkat dengan cepat, sekarang sudah menjadi 40% disebabkan oleh kedatangan belakangan ini. Hari ini, kebanyakan daripada komuniti ini adalah orang-orang profesional sedangkan yang lain terdiri dari pekerja-pekerja dalam bidang kekeranian, penjualan dan perkhidmatan. Bahasa Kantonis (26%), dan bahasa Inggeris (29%) merupakan dua bahasa yang paling banyak dituturkan di rumah diikuti oleh bahasa Mandarin (25%).